Wednesday, November 20, 2013

35 Peratus Kematian Akibat Penyakit Kardiovaskular Di Bawah 60 Tahun




35 Peratus Kematian Akibat Penyakit Kardiovaskular Di Bawah 60 Tahun







Kuala Lumpur - Penyakit kardiovaskular terus merupakan penyebab utama kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan dengan kira-kira 35 peratus kematian berlaku pada individu berumur kurang dari 60 tahun, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata, terdapat 8,000 pesakit jantung baru setiap tahun dan sakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara ini sejak tiga dekad lalu."Lebih mengejutkan kanak-kanak Malaysia sama terdedah kepada risiko penyakit kardiovaskular.

"Risiko ini boleh bermula sebelum kelahiran semasa pertumbuhan janin dan meningkat semasa kanak-kanak dengan mereka terdedah kepada makanan tidak sihat dan kurang senaman," kata beliau dalam ucapan pada majlis pelancaran program hidup sihat, 'Sunway Pyramid Healthy Living' di Petaling Jaya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan amat bimbang dengan peningkatan jumlah dewasa dan kanak-kanak Malaysia yang menghidap penyakit kardiovaskular.

Subramaniam berkata kehilangan upaya dan kematian akibat penyakit kardiovaskular berlaku dalam kalangan anggota masyarakat Malaysia yang produktif dari segi ekonomi.
"Selain impak negatif terhadap kualiti kehidupan, penyakit kardiovaskular menambah beban ekonomi individu, keluarga dan komuniti dan mengurangkan daya pengeluaran negara. Ia juga menjejas teruk sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia," kata beliau.





No comments: